Tuesday, January 26, 2010

Bingkisan Hati

Seandainya ada gerimis malam menempias ke jendela kamar, itulah tempias rindu yang mengetuk jendela hati. Seandainya tidur malam diganggu resah, itulah resah jiwa yang sepi. dan seandainya telinga terdengar-dengar desiran bayu berteriak, itulah suara hati yang sedang memanggil.

Jutaan terima kasih atas keikhlasan hati. Terima kasih jua kerana simbahan kasih sayang yang telah mewarnai cinta seindah pelangi yang melakar separuh bulatan dilangit senja.

Tidak jemu mengupas cinta. Setiap kali dikupas, setiap kali itulah menemui sesuatu yang baru dan semakin mengenali isi hati.

Dari hari ke hari... rindu terus menjalar membelit hati menjadi satu. Sehingga sukar untuk melepaskan belitan itu. Hanya pertemuan sekelip mata pada sesekali musim resah memuncak, barulah belitan rindu terburai sebentar. Selepas itu, rindu membelit kembali menjadi sarang kasih yang setia.

Dari kejauhan ini dititipkan selintas pesanan. Hargailah kesetiaan sebagaimana menghargai khazanah cinta. Jangan sekali mencipta ruang perpisahan. Jika masih ada ruang curiga yang cuba menguis pintu hati, sulamilah segera sebelum ia merebak menjadi cemburu yang merosakkan sarang kasih di hati.

Hanya ada satu petua yang dapat mengelakkan perpisahan. Hendaklah mengelakkan dari gangguan insan ketiga yang bakal mengganggu dan menggugat kesetiaan. Jangan sekali saling melukai dan berlaku curang... kerana sekali hati terguris... adalah teralu payah untuk dipadamkan gurisan itu. Bimbang gurisan itu akan menitiskan air mata dan menghilangkan kepercayaan yang selama ini begitu sukar untuk dipaterikan.